Keterangan:
Hadis di atas menerangkan bahawa
apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan,
kemungkaran dan kefasiqan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada
di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang yang
soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari qiamat akan
diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.
Oleh itu, segala macam
kemungkaran dan kefasiqan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan
hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja
akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut,
tetapi ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.
Dalam hadis di atas, walaupun
disebutkan secara khusus tentang bangsa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah
seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara
khusus adalah kerana Nabi kita saw. sendiri dari kalangan mereka, dan yang
menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya dari
kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa yang lain . Begitu pula
halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju-mundurnya. Umat Islam adalah
banyak bergantung kepada maju-mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Selain
daripada itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa Arab.
Kemudian Ya'juj dan Ma'juj pula
adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam as.) yang dahulunya banyak membuat
kerosakan di permukaan bumi ini, lalu batas daerah dan kediaman mereka ditutup
oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga,
maka dengan itu mereka tidak dapat keluar, sehinggalah hampir tibanya hari
qiamat. Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah
kedua-dua bangsa ini dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan
dipermukaan bumi ini. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari
qiamat sudah dekat sekali tibanya.